Isu mengenai Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) masih belum surut dan tetap diperkatakan oleh orang ramai, malah ia juga masih mendapat perhatian pihak kerajaan. Terbaru, kerajaan telah mendesak Touch ‘n Go (TNG) untuk mengurangkan harga bagi equipment pasang-sendiri RFID, yang buat masa ini dijual pada harga RM35 seunit.
Menurut laporan The Star, permintaan itu disuarakan sendiri oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen kelmarin. “Pihak kerajaan telah meminta Touch ‘n Go Sdn Bhd mengkaji semula kos (pelekat RFID) bagi tujuan mengurangkan harga jualan.
“Touch ‘n Go Sdn Bhd ialah penyedia perkhidmatan untuk sistem kutipan tol di semua lebuh raya di Malaysia, dan pelantikan kontraktor atau pembekal tag RFID diuruskan sepenuhnya oleh syarikat terbabit,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.
Fadillah sebelum ini berkata kerajaan menuntut justifikasi daripada Touch ‘n Go dan PLUS mengenai kos equipment tersebut. Ini berikutan entri menerusi Facebook bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tular, mengatakan tag pasif sebenarnya berharga kurang daripada RM1 untuk dibuat.
Dalam sesi yang sama, Fadillah turut mengesahkan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT) dan 2 (LPT2) juga akan mengguna pakai sistem RFID bermula akhir Jun ini, menjadikannya sebanyak 28 lebuhraya yang telah menggunakannya. Ia adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Fasiah Mohd Fakeh, yang bertanya sama ada kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih boleh digunakan di lebuh raya PLUS dan LPT2.