K’jaan mempertimbangkan cadangan bina Terowong SMART kedua di Lembah Klang atasi isu banjir

0
56

Kerajaan dikatakan sedang mempertimbangan cadangan untuk membina Terowong SMART kedua di Lembah Klang bagi mengatasi isu banjir yang semakin teruk, ini termasuk berkaitan faedah kos kerana ia membabitkan belanja yang amat tinggi.

Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Rozman Mohamad, berkata pihaknya terbuka dengan cadangan daripada beberapa syarikat swasta itu memandangkan pelbagai sistem tebatan banjir dan kolam takungan sedia ada, tidak dapat mengatasi isu banjir, laporan Berita Harian.

“Kita ada dapat beberapa cadangan daripada syarikat swasta yang mencadangkan pembinaan Terowong SMART yang kedua. Berdasarkan cadangan itu, terowong yang mahu dibina adalah lebih panjang daripada Terowong SMART yang ada sekarang, dan ada yang ingin menggunakan mesin TBM (yang digunakan untuk projek pembinaan terowong) MRT.

“Ini perlu dikaji dengan teliti kerana pembinaannya babitkan kos yang tinggi dan perlu juga lihat pulangan kepada kerajaan. Pembinaan Terowong SMART sepanjang 11.8 kilometer membabitkan kos RM2.2 bilion, dan yang dicadang ini lebih panjang. Jadi, kita perlu telili impak dan faedah kosnya,” katanya.

Rozman turut berkata, untuk mengatasi isu banjir di Kuala Lumpur, kerajaan juga sedang membina kolam takungan air bawah tanah bersaiz besar seperti yang ada di Jepun.

“Di Jepun, kebanyakan kawasannya juga sudah membangun seperti di Kuala Lumpur dan tiada ruang untuk membina kolam, jadi mereka menggunakan kolam bawah tanah yang amat besar. Di Kuala Lumpur, kita sedang melaksanakannya menerusi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bunus, di mana kita ada membina kolam bawah tanah di padang PULAPOL (Pusat Latihan Polis).

“Apabila ia siap pada 2024, kolam di bawah tanah ini boleh digunakan untuk tebatan banjir, dan di atasnya boleh digunakan sebagai padang bola sepak,” katanya.

Source link