PDRM laksana Op Lancar 8-11 Julai sempena Aidiladha – guna dron kesan kesalahan trafik

0
6

Demi memastikan aliran trafik lancar sepanjang perayaan Aidiladha 2022, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar selama empat hari bermula hari ini, 8 Julai, hingga Isnin hadapan (11 Julai).

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, Op Lancar ini dilaksanakan ekoran pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota kerana sambutan Aidiladha.

“PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sudah mengenalpasti kawasan-kawasan ‘panas’ yang dijangka sesak. Sasaran polis ialah memastikan aliran trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta bandaran bergerak lancar dan terkawal.

“Selain itu rondaan cegah kemalangan dan ‘omnipresent’ di lokasi turut dijalankan termasuk pendekatan pemantauan melalui dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi mengesan kesalahan menggunakan lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan pengguna jalan raya merancang perjalanan dan peka dengan maklumat aliran trafik semasa.

“Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang jalan,” katanya.

Tambah beliau, melalui Op Lancar kali ini, PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai sepanjang perjalanan terjamin bagi merayakan Aidiladha dalam suasana kekeluargaan yang sejahtera.



Source link