Pengendali e-hailing akan diminta beri penjelasan ekoran isu kenaikan tambang mendadak – Dr. Wee

0
2

Sejak kebelakangan ini, ramai pengguna perkhidmatan e-hailing merungut mengenai kenaikan kadar tambang yang membebankan. Malahan ada kadar tambang bagi sesetengah destinasi yang berlipat kali ganda walau pun bukan pada waktu puncak.

Isu ini turut mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan yang mengesahkan syarikat pengendali perkhidmatan terbabit akan diminta untuk kemukakan penjelasan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, walau bagaimana pun, setakat ini belum ada kesahihan berhubung perkara itu, namun tidak menolak kemungkinan kementeriannya akan memanggil pengendali e-hailing untuk menjawab aduan pengguna, laporan Bernama.

“Syarikat e-hailing ini kena jawab dan bagi justifikasi kenapa berlaku kenaikan harga, kita (Kementerian Pengangkutan) akan teliti sama ada jawapan mereka masuk akal atau tidak. Kalau katakan (tambang) RM20, tiba-tiba naik RM70 dalam keadaan sekarang, ia dilihat membebankan rakyat.

“Sebagai pembuat dasar, kita tidak mahu melihat mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan,” katanya kepada pihak media bagi mengulas isu ini.

Tambah beliau, mana-mana syarikat e-hailing perlu menerangkan justifikasi jika berlaku kenaikan harga kerana pihaknya melihat daripada sudut pengguna.

“Kenapa sebelum ini tidak berlaku (kenaikan harga), saya rasa ini antara soalan yang relevan dikemukakan rakyat, saya sudah minta supaya perkara ini diterangkan. Saya minta APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) tengok balik dan minta syarikat ini terangkan dan jelaskan kenapa kenaikan harga berlaku.

“Saya jangka sehari dua ini, syarikat ini patut terangkan kepada rakyat barulah kita lihat dasar apa yang perlu kita buat seperti menggalakkan lagi persaingan supaya harga akan turun,” katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu mengemukakan alasan sekiranya berlaku kenaikan harga contohnya disebabkan kesesakan.

“Kita nak dengar sebab mereka, mungkin disebabkan kesesakan, tetapi takkan dulu tak sesak, kenapa sekarang baru sesak. Bagaimanapun, kita dengar, jadi saya rasa mereka juga rasa terpanggil dan terangkan sebab, sama ada diterima atau tidak,” katanya.

Kenaikan tambang e-hailing dikatakan naik sehingga 400% pada waktu puncak sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan pengguna dan disifatkan sebagai tidak masuk akal. Sekaligus orang ramai mendesak agar kerajaan untuk masuk campur bagi menyelesaikan isu ini.



Source link