Polis pantau 25 laluan termasuk 4 lokasi ‘panas’ di Kelantan dalam Op Selamat 17/2022 pada 28 Jan-6 Feb

0
64

Kontijen Polis Kelantan telah bersiaga untuk memantau 25 laluan utama di negeri tersebut yang dikenalpasti kerap berlaku kemalangan jalan raya. Pemantauan menerusi Op Selamat 17/2022 akan berlangsung mulai 28 Januari hingga 6 Februari 2022, melibatkan 266 pegawai dan anggota yang ditugaskan dalam operasi tersebut dengan memberikan lebih tumpuan terhadap empat lokasi panas.

“Empat laluan itu adalah tiga sempadan utama negeri iaitu Pasir Puteh, Gua Musang, Jeli dan pusat bandar (Kota Bharu) yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya yang merayakan sambutan Tahun Baru Cina untuk membeli-belah.

“Penugasan bukan sahaja dijalankan oleh anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kelantan tapi juga Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Tambah Shafien, pihaknya menganggarkan antara 700,000 hingga 800,000 kenderaan mulai masuk ke Kelantan bermula hari ini dan menekankan pendekatan mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan.

“Berdasarkan statistik tahun lalu, jumlah kemalangan adalah sebanyak 498 berbanding 495 pada tahun 2019 dan kemalangan maut juga meningkat daripada 11 kepada 17 kes dalam tempoh yang sama. Enam kesalahan utama yang dikesan kerap dilakukan adalah memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar serta memotong barisan,” katanya.

Selain penugasan trafik, Shafien berkata, penugasan sempena Op Selamat itu juga untuk mencegah kes pecah rumah yang sering berlaku pada musim perayaan. Dengan mengekalkan slogan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’, Shafien berkata, keselamatan kediaman masyarakat akan terus diberi keutamaan dengan kerap mengadakan rondaan di kawasan yang sudah dikenal pasti.

“Kita mengatur gerak sumber manusia bagi menangani persepsi masyarakat yang menganggap tiada kelibat polis atau tiada perbezaan antara penugasan Op Selamat dengan hari biasa,” katanya.



Source link