Ramai yang nak masuk BN, tapi kita mahu solo

0
19

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan sama ada akan menerima beberapa parti yang berhasrat untuk menyertai gabungan parti itu.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan memberitahu, ada sekurang-kurangnya tiga parti yang mahu menjadi komponen parti sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setakat ini, Parti Bangsa Malaysia (PBM) sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai BN.

“Ramai yang nak masuk BN, banyak parti nak menyertai BN, malam esok mesyuarat tertinggi BN, ada dua tiga parti yang nak menyertai BN kita akan bincang.

“Tapi nak mengotorkan kain sahaja buat apakan. Sebab itu, kita nak hadapi PRU15 dan BN bergerak sendirian. Apa nak jadi.. jadilah. Dalam Pilihan Raya Negeri, pengundi bersama kita,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau turut memberi bayangan, antara punca BN mahu bergerak bersendirian adalah disebabkan keputusan Pas menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Muafakat Nasional (MN), saya pengerusi bersama dengan timbalan presiden dia, saya tanya kerana UMNO dah buat keputusan bahawa kami takkan menyertai PN, jadi apakah tuan punya pandangan, dia kata takkan menyertai PN.

“Mesyuarat bulan depan, saya tanya lagi, macam mana pendirian, masih lagi tidak menyertai PN, tetapi jangan daftarkan MN. Dua minggu lepas itu, dia masuk PN, dia menjadi penaja utama. Siapa yang khianat sekarang, tuduh pula kita khianat. Serban lilit tebal, tapi cakap tak betul, lebih baik saya yang tidak berjambang dan tidak berserban.

“Lebih baik muka bersih macam ini, hati pun bersih, jangan cakap lain di hati lain. Ini bukan bercabang, ini bercabang-cabang, jadi saya hairan di mana letaknya tuduhan kita khianat, di Johor pun begitu, kita jemput tapi tengok-tengok dia akan bersama dengan rakan dia, kita tak ada masalah, kita tak pula menangis bergolek atas jalan, kita buat haluan kita, ramai yang tak sudi dengan kita, tinggallah UMNO, MCA, MIC, PBRS dan rakan-rakan kita dari Friends of BN,” katanya.

Bukan itu sahaja, Mohamad turut mendakwa Pas mengkhianati UMNO di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Di Melaka, tak ada siapa kata kita boleh menang, paling banyak 11 kerusi sahaja, itu sebabnya rakan kita lari lintang pukang tak mahu bersama dengan kita.

“Walaupun kita tawarkan dia lima kerusi, dia minta tiga tapi kita bagi lima, macam berniaga dekat Mekah. Beli tiga tambah dua, ambillah lima. Dia tak mahu, kerana tak yakin dengan BN, tak yakin boleh menang, maka lari ikut teman wanita baharu. Kita pula nak disalahkan, kata kita khianat, bila masa UMNO khianati MN,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, BN bertekad untuk bertanding bersendirian dalam PRU15.

“Kita sedar diri kita siapa, kita dah kalah dan orang dah tak nak bersama kita, maka kesedaran ini, di atas asas ini, kita bangkit semula dalam PRU15.

“Jangan kita dianggap itik patah kaki, itik tempang lagi. Sekarang barulah tergesel-gesel kata nak balik. Kalau nak balik tinggalkan teman wanita itu, balik rumah isteri tua, memanglah sayang sangat dengan teman wanita itu, tapi jangan bawa balik teman wanita kamu ke rumah,” katanya.-UTUSAN ONLINE



Source link