Sindiket ‘lesen terbang’ masih berleluasa, polis nasihati orang ramai untuk lebih berwaspada

0
49

Cerita ‘lesen terbang’ atau pun lesen memandu tanpa perlu hadiri ujian dan kelas memandu, bukanlah suatu perkara yang baru. Ia telah lama berleluasa sejak sekian lama. Sehingga kini, masih banyak sindiket yang bermaharajalela melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sehingga kini pihaknya menerima sembilan laporan berhubung penipuan terbabit, laporan Harian Metro susulan sindiket penipuan yang dikesan membuat iklan di media sosial.

Menerusi iklan aktiviti haram itu, sindiket berkenaan dikesan menawarkan lesen memandu dengan harga bermula dari RM580 sehingga RM5,000 untuk orang ramai dengan jaminan ‘gerenti lulus’ dan tanpa menghadiri kelas di institut memandu dan ujian memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Tujuh laporan diterima di Pulau Pinang dan dua kes di Kelantan membabitkan kerugian keseluruhan bernilai RM17,080. Siasatan mendapati sindiket menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri sebarang ujian,” kata Mohd Kamarudin.

Katanya lagi, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada ketika melakukan urusan melalui Internet atau laman sosial dengan menyemak nombor akaun financial institution dan nombor telefon di Semak Mule.

“Orang ramai juga perlu berhati-hati ketika melakukan transaksi ke akaun yang tidak dikenali. Masyarakat juga diseru untuk mendapatkan lesen memandu melalui saluran yang betul. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, JPJ turut menerima laporan berkaitan pengiklanan mendapatkan lesen memandu secara tidak sah di media sosial. Menerusi iklan di laman Instagram yang menggunakan nama ‘iteacherconsultingofficial’ itu, beberapa perkhidmatan ditawarkan antaranya lesen memandu mampu disiapkan dalam tempoh lima hari, permohonan direkodkan dalam sistem JPJ dan boleh membuat pembayaran selepas lesen memandu siap dikeluarkan.

“JPJ memandang serius terhadap sindiket lesen terbang ini dan siasatan lanjut akan dilakukan termasuk membuat laporan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM).

“Dalam hal ini, JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih,” ujar JPJ.



Source link