Sistem RFID di lebuhraya perlu ditambahbaik, dipromosi dan diberi penerangan lebih jelas – FOMCA

0
5
Sponsored:

Sejak kerajaan mengumumkan pelaksanaan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari ini, ia menerima banyak reaksi berbeza dari pelbagai pihak.

Antaranya Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang berkata, ia adalah hasrat kerajaan untuk memodenkan pembayaran tol dan menambah baik pengurusan kesesakan di plaza tol menerusi pelaksanaan RFID, namun perlu diberikan banyak penambahbaikan demi memudahkan lagi penggunaannya.

Timbalan presiden FOMCA Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ini termasuklah dengan adanya 20 laluan RFID di sembilan plaza tol PLUS yang buat masa ini masih mempunyai palang dan keadaan itu menyebabkan pengguna lebuh raya perlu memperlahankan kenderaan sebelum imbasan dilakukan, laporan Bernama.

“Kita boleh lihat Singapura yang tidak mempunyai tol, perjalanan pengguna jadi lebih cepat sebab tidak perlu berhenti, sentuh kad dan sebagainya seperti yang kita amalkan sekarang,” katanya.

Selain itu, katanya, kemudahan tambah nilai yang ditawarkan RFID yang boleh dibuat secara dalam talian seharusnya mendapat reaksi positif rakyat.

“Macam yang dikatakan ramai pihak, kalau dengan Touch ‘n Go kita memang alami kesukaran untuk tambah nilai. Kena singgah ke kedai serbaneka, stesen minyak dan kena sediakan tunai sebab untuk tambah nilai tanpa tunai tidak boleh.

“Jadi RFID ini bagi kita pilihan yang lebih mudah sebab boleh tambah nilai menerusi telefon pintar sama ada guna kad debit atau kredit, atau perbankan dalam talian. Ia juga ada ciri tambah nilai langsung menggunakan e-dompet,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan sasaran pelaksanaan RFID secara berperingkat memandangkan tidak semua pengguna lebuh raya ketika ini mempunyai akses kepada tag RFID berikutan kurangnya maklumat mengenai sistem tersebut.

“Pilihan untuk menggunakan Touch ‘n Go dan SmartTAG untuk tempoh tertentu adalah wajar dan ia perlu diteruskan sehingga PLUS rasa semua orang sudah boleh akses kepada RFID. Kemudian barulah secara beransur-ansur hapuskan kaedah pembayaran sedia ada dan beralih ke RFID sepenuhnya,” katanya yang turut menyarankan untuk lebih banyak promosi dibuat oleh PLUS berkenaan teknologi itu untuk manfaat pengguna.

Mengenai reaksi sesetengah netizen yang kurang senang dengan pengumuman tersebut, beliau berkata situasi berkenaan pernah berlaku suatu ketika dahulu semasa peralihan sistem pembayaran tunai di tol kepada Touch ‘n Go.

“Saya rasa tiada masalah sebenarnya sebab peralihan tunai ke Touch ‘n Go sebelum ini tidak ambil masa yang lama (untuk diterima pengguna). Itu menunjukkan rakyat kita sebenarnya bersedia dengan perubahan berkenaan. Jadi sebab itulah, saya berpendirian yang sama untuk RFID ini.

“Apabila semakin ramai yang menikmati kemudahan ini, maka peralihan itu akan menjadi lebih positif. Sekarang saya faham banyak yang kurang setuju sebab belum ramai yang menggunakannya,” katanya.

Jika anda ingin mengetahui bagaimana sistem RFID ini berfungsi, SILA BACA ARTIKEL INI.



Source link

Sponsored: