Sony Vision-S 02 muncul di CES 2022 – SUV elektrik prototaip dengan tujuh tempat duduk didedah

0
5
Sponsored:

Sony nampaknya masih meneruskan eksperimen kenderaan elektrik Vision-S mereka dengan mendedahkan prototaip kedua yang dipanggil sebagai Vision-S 02 di acara Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas. Versi SUV ini menyertai versi sedan yang sekarang dipanggil sebagai Vision-S 01 dan didedahkan bersama pengumuman bahawa syarikat itu bersedia untuk meneroka kemasukan ke pasaran EV.

Rekaan SUV prototaip ini hampir sama seperti sedan Vision-S 01, tetapi bahagian belakangnya telah diubah dan saiznya adalah lebih besar. Meskipun begitu, ia diberikan dengan rim yang lebih kecil berbanding versi sedan, iaitu berdiameter 20 inci.

Bahagian dalam juga menampilkan rekaan yang minimalis seperti 01, tetapi mempunyai ruang untuk tujuh orang. Terdapat banyak skrin di dalam SUV ini, termasuk unit panjang yang terbahagi kepada tiga bahagian di atas papan pemuka, konsol tengah serta dua lagi di belakang penyandar kepala tempat duduk hadapan, untuk penumpang.

Kereta prototaip Vision-S juga datang dengan teknologi 360 Reality Audio Sony bersama pembesar suara bersepadu pada tempat duduk, akses streaming muzik serta servis streaming filem Bravia Core, dan fungsi Remote Play yang boleh dihubungkan kepada konsol PlayStation di rumah menggunakan sistem sambungan 5G dan membenarkan penumpang bermain permainan video di dalam kereta.

Untuk prototaip terbaru ini, Sony telah memasang kamera yang boleh mengenal pasti muka serta memerhati penumpang, seterusnya membenarkan operasi kawalan suara serta pergerakan. Pengguna juga boleh melaras tema paparan pada skrin dan “bunyi enjin” mengikut kegemaran.

Sebagai tambahan, sambungan 5G yang dinyatakan awal tadi juga boleh menyalin tetapan kenderaan, kunci serta tetapan pengguna kepada aplikasi telefon bimbit dan dikemas kini untuk meningkatkan lagi fungsinya. Kenderaan ini juga boleh menyediakan sistem pemanduan autonomous.

Secara keseluruhannya, terdapat 40 sensor jarak pada kenderaan Vision-S, termasuk sensor lidar serta kamera di hadapan, tepi dan belakang. Sony mendakwa kenderaan ini sekarang boleh menyediakan pemanduan autonomous Level 2+, dan memunyai sistem yang boleh menyokong Level 4 melalui kemas kini perisian.

Ukuran 02 adalah 4,895 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, sekaligus meletakkan saiznya antara Tesla Model Y dan Model S. Jarak roda pula adalah 3,030 mm. Menggerakkannya adalah dua motor elektrik 200 kW (268 hp) – menjadikan kuasa keseluruhan 536 hp – dan mampu mencapai laju maksimum lebih 180 km/j. Suspensi menggunakan tetapan double wishbone di semua penjuru dan dilengkapi spring udara.

Sebelum ini, Sony hanya menyatakan bahawa Vision-S sekadar satu tempat untuk mereka menunjukkan kemampuan teknologi produk dan menafikan sebarang perancangan untuk mengeluarkannya secara besar-besaran, tetapi kini mereka mengumumkan telah menubuhkan sebuah syarikat khas yang dipanggil sebagai Sony Mobility untuk mengkaji kemungkinan kemasukan ke dalam pasaran EV secara komersial.



Source link

Sponsored: