Yamaha 135LC Fi V8 – harga rasmi RM7,798 tapi harga sebenar di kedai berapa? Tak boleh beli secara tunai?

0
3

Setiap kali ada pelancaran motosikal baru, komen paling banyak yang kami terima adalah berkenaan harga, terutamanya mannequin kapcai. Ramai yang mengatakan, pengedar menaikkan harga sesuka hati dan pembelian secara tunai juga kerap ditolak.

Semasa Yamaha Y15ZR V2 baru tiba di negara kita, kami telah melakukan tinjauan harga di beberapa kedai, dan perkara ini memang terbukti berlaku. Harga di setiap kedai boleh menjadi berbeza, sama ada melalui cara pembelian tunai mahupun pinjaman sewa beli.

Untuk kali ini, kami lakukan perkara sama – pergi ke tiga kedai secara rawak, tetapi untuk mendapatkan harga Yamaha 135LC Fi V8 pula. Kedai yang kami pergi kali ini adalah A di Setapak, Kuala Lumpur, B di Taman Medan, Petaling Jaya dan C di Pandamaran, Klang.

Sebelum pergi lebih lanjut kepada harga sebenar di kedai ini, biar kami nyatakan semula bahawa semasa pelancaran rasmi, harga yang dinyatakan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk 135LC Fi ini adalah RM7,798 tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain.

Sekarang bila pergi ke dunia sebenar, kita boleh melihat kedai A dan kedai B nampaknya memberikan harga yang sama bagi pembelian tunai, iaitu RM8,800 sementara untuk pembelian secara pinjaman, bayaran bulanan sedikit berbeza meskipun deposit yang diletakkan adalah sama, iaitu RM1,000.

Jangkaan kami, ini mungkin disebabkan beza antara penyedia pembiayaan dan kalau anda kira secara keseluruhan, beza bayaran antara kedai A dan kedai B apabila tempoh pinjaman berakhir cumalah RM252. Sempat kami bertanya untuk kedai A, jumlah yang dinyatakan itu adalah apabila menggunakan pembiayaan daripada AEON Credit dengan kadar bunga 10% setahun.

Kedai C menunjukkan perbezaan yang jelas jika dibandingkan dengan kedai A dan B. Mereka langsung tidak menerima pembelian secara tunai (sebab tidak dinyatakan), sementara apabila menggunakan pinjaman juga jumlahnya adalah yang paling tinggi – bukan sahaja untuk bayaran pendahuluan, tetapi juga bulanan.

Apabila dikira jumlah keseluruhan termasuk deposit serta bayaran bulanan sehingga tamat tempoh pinjaman, kedai C mencatat jumlah RM13,004 dan ini adalah lebih tinggi RM556 berbanding kedai A dan RM304 berbanding kedai B.

Setakat yang kami tanya, kedai A dan kedai B tidak mempunyai masalah sekiranya pelanggan mahu membeli motosikal secara tunai, tetapi tempoh menunggunya adalah lebih lama (tambah satu minggu) berbanding jika menggunakan pembiayaan secara pinjaman.

Apabila ditanya berkenaan stok pula, rata-rata semua kedai ini tidak mempunyai stok sedia ada dan tempoh menunggu yang diletakkan untuk 135LC Fi dan Y15ZR adalah sama, iaitu sekitar satu bulan. Itupun, mereka tidak boleh menjanjikan warna apa yang akan tiba.

Di tempat anda pula bagaimana? Adakah sama seperti ini ataupun jauh lebih mahal? Cuba kongsikan dengan kami. Apapun, kalau anda rasa harga yang ditetapkan itu melampau, jangan beli terus di kedai tersebut. Sebaliknya, teruskan bertanya kepada kedai-kedai lain yang mungkin boleh menawarkan harga lebih rendah.

GALERI: Yamaha 135LC Fi 2022

GALERI: Yamaha 135LC Fi Special Edition

Source link