Honda Odyssey facelift 2022 diperkenalkan di M’sia — MPV 7-kerusi dikemaskini, 2.4L NA, CVT, dari RM275k

0
61

Honda Malaysia kini memperkenalkan secara rasmi Odyssey facelift untuk pasaran tempatan, selepas beberapa hari dilihat di jalanraya di sini. MPV tujuh-tempat duduk itu diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU) dan dijual pada harga RM275,311 atas jalan tidak termasuk insuran. Ini sudah termasuk pengecualian SST hingga 30 Jun nanti.

Ini merupakan facelift kali kedua untuk MPV berkenaan, dengan kali pertama itu dilakukan dan masuk ke pasaran sini pada Februari 2018. Dalam penawarannya yang terkini, Odyssey kelihatan lebih menawan dengan rekaan gril depan baru yang lebih menonjol dengan empat bilah jalur besar melintang.

Itu membolehkannya menerima rekaan bonet yang lebih rata, dan disertai oleh palang krom yang dilanjutkan hingga ke ruangan lampu utama LED yang juga diberi rekaan baru. Apron bawah juga menempatkan lampu LED lain yang disepadukan ke dalam bukaan udara yang ada, juga diberikan sentuhan baru untuk ia nampak lebih lebar dan tajam.

Dari tepi, Odyssey mengekalkan profil yang sama seperti sebelumnya, tetapi bahagian belakang menampilkan rekaan grafik baru untuk lampunya serta jalur krom merentangi kelebaran pintu. Perincian krom di bahagian bawah bampar berdekatan reflektor bampar belakang juga telah diterbalikkan dan dijadikan tidak ketara.

Di dalam, Odyssey menerima rekaan papan pemuka baru dengan skrin sentuh lapan-inci di tengah. Corong udara tengah dan juga penumpang kini lebih tirus dan menjadi pembahagi antara skrin sentuh dan lapisan tengah, yang turut menempatkan butang penghidup enjin dan juga panel sentuh bagi sistem pendingin hawa dan tombol gear.

Dari segi kelengkapan, Honda Malaysia menyatakan Odyssey datang dengan rim aloi 17-inci, lampu isyarat sequential depan dan belakang, paparan kluster instrumen multi-info tujuh-inci, sistem infotainmen Advanced Display Audio dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, kerusi balutan kombinasi kulit, pintu ruang barangan belakang kendalian bebas-tangan dan pintu gelungsur berkuasa di belakang.

Tujuh kerusinya disusun dalam konfigurasi 2-2-3, dengan barisan kedua menempatkan kerusi kapten dengan mekanisme ottoman. Seperti sebelum ini, kerusi barisan kedua boleh ditolak dan dilungsur dan sengetkan, sementara barisan ketiga boleh dilipat sepenuhnya jika memerlukan lebih ruang. Ruang depan hadir dengan kawalan pendingin dwi-zon di depan, dan di belakang dengan zon-tunggal dan corong di bumbung.

Aspek keselamatan dan bantuan pemandu pula, Odyssey terus dilengkapi dengan Honda Sensing sebagai ciri normal. Sistem yang termasuk adalah Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).

Ini disertai juga oleh kamera belakang pelbagai sudut, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang, serta sistem pasif seperti enam beg udara, bantuan mula mendaki, kawalan kestabilan, ABS, EBD dan Bantuan Brek.

Untuk enjin, ia menggunakan unit 2.4 liter DOHC i-VTEC sebelum ini, dengan NA dan empat-silinder yang menjana sebanyak 175 PS (173 hp) pada 6,200 rpm dan 225 Nm tork pada 4,000 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi automatik CVT.

Tiga pilihan warna tersedia, terdiri daripada Platinum White Pearl, Premium Twinkle Black Pearl dan Super Platinum Metallic. Harganya termasuk jaminan tanpa had perbatuan selama lima-tahun dengan kos buruh percuma hingga lima kali servis dalam tempoh lima-tahun atau 100,000 km.

Source link