Jualan Proton bagi Februari 2022 naik 107% — catat jualan 9,225 unit untuk pasaran domestik dan eksport

0
69

Jualan kenderaan Proton bagi bulan Februari 2022 kembali mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan jualan sebanyak 107% berbanding Januari 2022. Proton berjaya menjual keseluruhannya sebanyak 9,225 unit (untuk pasaran domestik dan eksport) sepanjang Februari dan meraih semula kedudukan kedua dalam pasaran.

Pegangan pasaran domestik Proton untuk bulan Februari dianggarkan pada 20.2%, manakala untuk dua bulan pertama tahun ini, pegangan pasaran terkumpul dianggarkan pada 15.9%. Bagi pasaran automotif secara amnya, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi tahun ini dianggarkan meningkat sebanyak 11.4% berbanding dua bulan pertama 2021.

Perkembangan ini disumbang oleh aktiviti pengeluaran beroperasi sepenuhnya di Shah Alam dan Tanjung Malim, membolehkan jualan juga lebih rancak. Proton Saga mencatatkan 2,951 unit jualan pada bulan Februari. Walaupun kurang daripada purata bulanan biasa, angka itu dijangka kembali ke tahap sebelumnya dalam beberapa bulan akan datang.

Bagi Proton X50 dan X70, masing-masing menutup tirai Februari dengan jualan sebanyk 3,002 unit dan 1,119 unit. Ini membolehkan kedua-dua SUV itu menjadi pendahulu dalam segmen masing-masing. X50 juga menjadi SUV paling laris dalam negara yang telah meraih lebih daripada 100,000 unit tempahan dalam masa 16 bulan.

Exora juga kembali mendahului segmen C bagi MPV, dengan jualan 157 unit. Sementar itu, Iriz pula mencatatkan jualan 321 unit (tangga keempat segmennya) dan Persona dengan 1,675 unit (kedua dalam segmennya).

Walaupun jualan domestik masih dengan jumlah yang sama seperti tahun lepas, jualan eksport pula semakin meningkat, bertambah sebanyak 72.8% pada tahun 2022. Untuk dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 323 unit pelbagai kereta Proton telah dijual dalam pasaran eksport berbanding hanya 187 unit dijual pada tahun 2021.

“Keupayaan syarikat untuk mengeluarkan lebih banyak kereta merupakan punca utama pemulihan jualan bulan Februari. Ini hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor dan kakitangan Proton, yang bekerja bertungkus lumus untuk mengembalikan kami ke landasan yang betul. Syukurlah, buku tempahan kami kekal sihat, dan kami yakin boleh mencapai sasaran kami untuk tahun ini.

“Bagi industri automotif Malaysia, dua bulan pertama tahun ini menyaksikan permintaan kukuh yang ditunjukkan oleh pertumbuhan dalam TIV berbanding tahun 2021. Ini berita baik untuk kedua-dua syarikat kereta dan komuniti vendor dan juga bukti keberkesanan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Source link