Kerajaan terus tangguh kenaikan kadar tol sehingga 2023 – tiada kenaikan di Kesas, SKVE, LPT2 tahun ini

0
72

Kementerian Kerja Raya telah mengesahkan tiada kenaikan kadar tol untuk tiga lebuh raya utama pada tahun ini, dengan penangguhan kenaikan kadar tol dari 2021 diteruskan ke 2022, laporan The Star.

Pada April tahun lalu, kerajaan bersetuju untuk untuk menangguhkan kenaikan kadar tol yang dijadualkan untuk tiga lebuhraya utama, iaitu Lebuhraya Shah Alam (Kesas, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Kenaikan kadar tol ini sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari 2021.

“Kerajaan telah memutuskan untuk menyusun semula kadar tol dan akan dirundingkan dengan syarikat konsesi lebuhraya, serta mesti dimuktamadkan sebelum 2023. Sepanjang tempoh rundingan, kadar tol yang diwartakan dikekalkan dan penangguhan kenaikan kadar tol akan diteruskan untuk 2022,” kata kementerian terbabit dalam jawapan bertulis bagi soalan yang diajukan di Parlimen.

Kementerian terbabit memberikan maklumbalas terhadap soalan yang dikemukakan oleh Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang bertanya adalah kerajaan mempunyai perancangan untuk melaksanakan kenaikan kadar tol pada tahun ini. Ia menambah, berdasarkan perjanjian konsesi yang ditandatangani, sekiranya kerajaan melaksanakan kadar tol lebih rendah daripada yang dipersetujui atau memansuhkan kutipan tol, kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

Tahun lalu, kerajaan juga menangguhkan kenaikan kadar tol untuk 26 lebuhraya lain, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX). Menteri Kerja Rata Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan perlu menanggung pampasan sebanyak RM2.25 bilion pada tahun tersebut berikutan keputusan mengekalkan kadar tol.

Source link