Volkswagen Passat Elegence 2.0 TSI 2022 – RM184k, rim Bonneville 18-inci baru, Android Auto tanpa wayar

0
60

Dua minggu lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah pun melancarkan versi kemaskini bagi model tahun 2021 untuk Passat Elegence 2.0 TSI. Kalau anda nak tengok lebih dekat kereta tersebut, ia kini sedang dipamerkan di Pusat Membeli-belah 1 Utama sempena acara jelajah Volkswagen Tour. Jauh sangat nak pergi tengok? Mari kami belanja anda galeri penuh.

Versi kemaskini ini menerima rim 18-inci Bonneville baharu dalam kemasan dua tona, bersama brand VW baharu yang lebih ringkas. Manakala pada bahagian kabin, tingkat taraf yang diberi termasuk panel kawalan sentuhan tindak balas haptik untuk sistem pendingin hawa tiga-zon (sama seperti Passat R-Line dan Arteon), serta Android Auto tanpa wayar pada sistem infotainmen Discover Pro dengan skrin 9.2-inci.

Dengan tingkat taraf yang diberikan ini, Passat Elegence 2.0 TSI kini dijual RM801 lebih mahal dari sebelum ini, pada harga RM183,680. Angka yang disebutkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal – Passat Elegence pasaran Malaysia ini masih dijana oleh enjin TSI 2.0 liter empat silinder turbo, menghasilkan kuasa 190 PS dan tork maksima 320 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan, memacu roda hadapan.

Sistem keselamatan juga kekal sama dengan diberikan fungsi seperti pemantau titik buta Side Assist dengan amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantau tekanan angin tayar, enam beg udara dan juga kawalan kestabilan elektronik. Ya, mannequin kemaskini Passat Elegence ini masih belum diberikan sistem brek kecemasan automatik.

Volkswagen Passat Elegence 2.0 TSI ini dipamerkan bersama Golf Mk8 yang baru dilancarkan minggu lalu. Anda boleh cari reruai Volkswagen Tour yang terletak di Centre Court, Old Wing, Aras Bawah, Pusat Membeli-belah 1 Utama yang berlangsung bermula 23 hingga 27 Februari, dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

Source link