Fieldman EV labur RM1 bilion untuk pembangunan kilang EV di Melaka, edar kenderaan RHD Changan

0
77

Menurut satu laporan Bernama, Melaka bakal menerima pelaburan berjumlah RM1 bilion daripada Fieldman EV untuk pembangunan kilang pemasangan kenderaan elektrik pertama di Malaysia.

Ketua menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dipetik berkata bahawa kilang ini akan dibina atas tanah berkeluasan 200 hektar di Kawasan Perindustrian Elkay Lipat Kajang, di Jasin, Melaka. Selain daripada itu, Fieldman EV juga telah memperolehi hak eksklusif pengedaran kenderaan Changan di pasaran pemanduan sebelah kanan, termasuk Malaysia serta Asia Tenggara.

“Fieldman berhajat untuk melancarkan kenderaan EV dan berminat (untuk membina) kilang pemasangan di Melaka bersama syarikat tempatan denagn menggunakan teknologi Changan. Kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama ini, yang akan memberikan manfaat jangka masa panjang dengan menguatkan pembangunan industri automotif di Melaka,” kata Sulaiman.

Kenderaan yang ditunjukkan waktu majlis penyerahan antara Fieldman EV dan pembangunan perusahaan negeri Melaka adalah Eado EV460, sebuah sedan elektrik yang menurut Fieldman Group, datang dengan bateri yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 550 km apabila meluncur sekata ataupun 460 km dalam keadaan yang pelbagai.

Menurut Sulaiman lagi, kilang pemasangan baru ini nanti akan menyediakan 5,000 peluang kerja dan mewujudkan industri sokongan bawahan lain dalam industri automotif tempatan, serta membenarkan pemindahan teknologi kenderaan elektrik yang akan membantu memacu ekonomi Melaka secara lebih lagi.

Fieldman Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2010, dengan perniagaan yang melibatkan minyak sawit, pengilangan plastik serta perdagangan komoditi, dan pada tahun 2018 telah membuka anak syarikat bernama Fieldman EV untuk mencari sumber tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi dibawa ke Malaysia – lapor Bernama.

Melihat kepada laman net Fieldman Group pula, Fieldman EV telah menandatangani perjanjian dengan Changan Automobile untuk eksport kenderaan pada tahun 2018 dan syarikat ini pernah membawa “beberapa model baru” ke Malaysia untuk syarikat e-hailing.



Source link