Polis kini aktif kesan kesalahan jalan raya menerusi video-video tular; pesalah terus dikenakan hukuman

0
62

Sebelum ini satu-satu video kesalahan jalan raya yang tular di media sosial mungkin mengambil masa untuk diambil tindakan oleh pihak polis. Namun kalau anda ikuti akaun Facebook rasmi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), anda akan perasan bahawa mereka kini lebih agresif untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap pesalah trafik menerusi video-video tular di laman sosial.

Sejak minggu lalu, tak kurang dari lima pesalah trafik berbeza telah dikenakan tindakan setelah video kesalahan yang mereka lakukan ditularkan di laman-laman sosial. Kesemua video-video berkenaan telah dinaikkan semula ke laman Facebook JSPT dengan hantaran “Segmen # Video Tular” yang bukan sahaja memaklumkan bahawa kesemua pesalah-pesalah tersebut telah pun dikenakan tindakan, malah mereka turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengulangi kesalahan-kesalahan itu.

Antara pesalah-pesalah yang telah dikenakan tindakan tersebut termasuk mereka yang terbabit dalam video tular kanak-kanak yang mengeluarkan separuh badan dari tingkap sebuah Perodua Alza, video sebuah Toyota Vios yang memotong secara berbahaya dari sebelah kiri di Melaka, video sebuah Toyota Prius C yang diparkir di tengah satu simpang di Ipoh, video Perodua Bezza yang memotong secara berbahaya dari sebelah kiri jalan dekat simpang Lebuh Puncak Jelapang, Perak, dan video sebuah Toyota Alphard yang telah memotong secara berbahaya dekat Jalan Batu Puteh – Simpang Tiga batu Puteh, Kulim, Kedah.

Rata-rata mereka yang didapati bersalah ini telah disaman dan diberikan amaran di rumah masing-masing, dan ada juga yang telah ditahan di balai polis. Jadi selepas ini anda perlu beringat – bukan kamera-kamera AES sahaja yang boleh menyebabkan anda di saman, kamera-kamera sprint cam yang digunakan secara meluas oleh orang awam juga boleh digunakan oleh pihak PDRM untuk menghukum kesalahan jalan raya yang anda lakukan.



Source link